Kira-Kira 300 Penduduk DUN Samariang Terima Suntikan Vaksin Di PPV Klinik Kesihatan Jalan Masjid

RABU, 14 JULAI 2021

KUCHING: Kira-kira 300 orang penduduk di Samariang yang belum menerima janji temu diberi suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Jalan Masjid di Dewan Majma pada Rabu.

Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri Persekutuan Dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali telah turun padang melawat PPV tersebut bagi melihat sendiri proses vaksinasi di situ.

Menurut beliau, dengan adanya inisiatif berkenaan, ia akan mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada penduduk DUN berkenaan yang masih menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan.

Sementara itu, beliau menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas kebenaran membawa penduduk Samariang untuk divaksin di PPV tersebut.

“Saya berterima kasih kepada pihak KKM, khasnya dan juga semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran proses vaksinasi rakyat pada hari ini di Dewan Majma Mall.

“Untuk rekod, hari ini saya difahamkan, hampir 300 penduduk Samariang telah dipanggil untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di sini, dan ini amat bagus sekali,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, hanya tinggal lebih kurang seramai 2,000 lagi penduduk Samariang yang masih dalam proses menunggu giliran untuk divaksinasi.

Namun demikian, beliau percaya jumlah itu akan berkurangan dan akhirnya hampir keseluruhan penduduk DUN Samariang telah mendapat suntikan pada penghujung bulan ini.

“Setakat hari ini, telah mencapai 70 ke 80 peratus, dan saya yakin pada penghujung bulan ini, hampir semua penduduk sudah mendapat vaksin ini,” katanya.

Selain inisiatif mendapatkan tempat bagi penduduk yang masih menunggu giliran, ADUN Samariang itu turut melakukan program ‘Outreach’ vaksin secara berperingkat di mana pihak pasukan Pegawai Perubatan dan Jururawat Klinik Kesihatan Petra Jaya akan pergi ke kediaman bagi penduduk yang kurang upaya, terlantar dan warga emas untuk memberi suntikan vaksin. -EDISI UKAS

Share
0

add comment