MKMKKB Ambil Langkah Proaktif, Agih Bantuan Makanan Kepada Penduduk Terjejas

RABU, 14 JULAI 2021

LIMBANG: Majlis Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Bisaya (MKMKKB) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau mengambil langkah proaktif apabila melaksanakan agihan bantuan bekalan makanan kepada penduduk yang terjejas.

Menurut Penghulu Ekit Awang, setiap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah diminta untuk memantau keadaan penduduk kampung di bawah selian masing-masing.

Katanya, agihan bantuan bekalan makanan ini menggunakan peruntukkan atau geran yang disalurkan kepada setiap JKKK oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau dan Ahli Parlimen Limbang bermula 8 Julai 2021.

“Bagi penduduk kampung yang daif dan memerlukan bantuan, Pengerusi JKKK dikehendaki untuk membantu dengan membuat laporan ke Pejabat Daerah Limbang yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD). 

“Penduduk kampung yang memerlukan bantuan bekalan makanan dinasihatkan untuk berhubung dengan Pengerusi JKKK masing-masing. 

“Penyerahan bantuan bekalan makakan akan dilakukan oleh setiap Pengerusi JKKK,” katanya. 

Terdahulu, inisiatif prihatin ini dilaksanakan hasil perbincangan  MKMKKB iaitu Temenggong Nicholas Buyok Pura, Pemanca Jun Sillah, Penghulu Ekit Awang dan Penghulu Lalam Sambat bersama  ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang bagi menyantuni penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19 yang hilang sumber pendapatan dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Penghulu Ekit jaringan komunikasi di antara masyarakat dan JKKK serta JPBD perlu dipereratkan bagi memastikan setiap komunikasi dapat disampaikan dengan baik dan tindakan susulan dapat dilakukan segera.

“Isu penggantungan bendera putih yang tular di media sosial sepatutnya tidak terjadi kawasan kita. 

“Ini adalah kerana kita mempunyai struktur yang jelas dalam menghadapi masalah-masalah yang wujud di kampung. 

“JKKK yang dilantik di setiap kampung berperanan sebagai agen atau medium pemudahcara di antara penduduk kampung dengan agensi-agensi kerajaan,” ujarnya. 

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha untuk membantu masyarakat setempat antaranya ialah penyerahan bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 dan pelaksanaan Bantuan Kewangan Khas COVID-19.-EDISI UKAS

Share
0

add comment