Pelbagai Bantuan Disalur Ringankan Beban Masyarakat Semasa Pandemik Covid-19

RABU, 14 JULAI 2021

SIBU: Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah menyediakan pelbagai bantuan untuk membantu meringankan beban masyarakat di negeri ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah memberitahu antara bantuan yang disalurkan adalah bantuan makanan di pusat kuarantin yang masih diteruskan hingga sekarang dan telah menelan kos melebihi RM8.4 juta.

Selain itu, JKMS katanya turut menyalurkan bantuan kepada para petugas yang berkawal di Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negeri dan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

“Peranan yang dimainkan JKM semasa pandemik Covid-19 ialah kita memberi bantuan makanan kepada yang memerlukan seperti ini,” jelasnya kepada media semasa meninjau dan mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk di beberapa penempatan di Sibu pada Rabu.

Menjelas lanjut, Dato Sri Fatimah berkata kerajaan juga bersetuju untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang dikenakan kuarantin di rumah.

Katanya, sebanyak 1314 kampung telah dikenakan perintah sekatan pergerakan setakat 30 Jun 2021 dan setiap KIR yang terbabit diberikan bantuan makanan.

Seramai 50 penduduk yang tinggal di kawasan Jalan Tiong Hua, Hua Kiew, Merlin, Langsat, Belian, Punai dan Lorong Lajong dan telah dikenal pasti oleh pihak JKM Sibu menerima bantuan tersebut.

Hadir sama Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus dan Pengarah Kebajikan Negeri Sarawak, Noriah Ahmad. – EDISI UKAS

Share
0

add comment