Pemasangan Lampu Isyarat Digital Selesaikan Masalah Aliran Trafik

RABU, 14 JULAI 2021

SARIKEI: Masalah aliran trafik yang sering menjadi punca kemalangan di simpang empat Jalan Getah di sini bakal berakhir apabila kerajaan bersetuju menaik taraf laluan itu melalui pemasangan lampu isyarat digital.

Peruntukan pemasangan sistem lampu isyarat baharu itu daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah projek Rakyat BP.1 dengan menelan kos sebanyak RM448,000 dan memakan masa selama 4 bulan untuk disiapkan.

Sehubungan itu, ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berharap penduduk dapat bersabar kerana kesulitan yang akan timbul sepanjang tempoh pemasangan lampu isyarat itu nanti.

Ini kerana projek tersebut akan melibatkan kerja-kerja pemasangan lampu isyarat digital dan menaik taraf jalan raya termasuk mengalihkan lampu-lampu jalan yang mana pihak kontraktor akan berhubung terus dengan pihak SEB.

Katanya, projek ini bukan sahaja akan mewujudkan aliran lalu lintas yang lebih selamat dan mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi juga memastikan keselamatan pejalan kaki. 

Beliau berkata demikian kepada media semasa menghadiri Majlis Penyampaian Pelantikan Kontraktor Projek Menambahbaik Persimpangan Jalan (Pembinaan Lampu Isyarat Berdigital Baharu) di Majlis Daerah Sarikei pada Selasa.

Dato’ Sri Huang turut berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan peruntukan untuk projek berkenaan.

Selepas program tersebut, Dato’ Sri Huang berkesempatan meninjau Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Sarikei. 

Dalam lawatan singkat itu, beliau sempat merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan yang sentiasa bertungkus lumus membantu memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Beliau turut menyeru rakyat yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin agar segera berbuat demikian agar imuniti kelompok dapat dibentuk.

Dato’ Sri Huang juga akan menyumbang air mineral setiap hari kepada PPV tersebut bermula pada Selasa.

Sebanyak 1168 dos vaksin diberikan kepada penduduk Sarikei dalam program tersebut. – EDISI UKAS

Share
0

add comment