Pengembangan Perniagaan Di Taman Teknologi Sama Jaya Berjumlah RM6.31 Bilion

RABU, 14 JULAI 2021

KUCHING: Sebanyak RM6.31 bilion akan dibelanjakan syarikat-syarikat di Taman Teknologi Sama Jaya, Kuching. 

Perkara ini dimaklumkan empat buah syarikat iaitu Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd, HGST Malaysia Sdn Bhd, IMM Technologi Sdn Bhd dan Longi Kuching Sdn Bhd dalam satu taklimat kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan secara atas talian pada Selasa. 

Dalam kenyataan media itu juga memaklumkan Syarikat E & E telah menunjukkan prestasi yang baik walaupun dalam wabak pandemik COVID-19 disebabkan permintaan tinggi untuk produk berkaitan E & E seperti solar, kapasitor seramik pelbagai lapisan, substrat aluminium dan lapisan tembaga di dunia. 

Turut dinyatakan syarikat multinasional di Sama Jaya telah meneruskan rancangan pengembangan mereka yang besar dengan mencerminkan keyakinan mereka sepenuhnya terhadap dasar mesra perniagaan serta kemampuan Kerajaan Sarawak untuk menangani wabak COVID-19. 

Sehingga kini, hampir keseluruhan 13,700 tenaga kerja di Sama Jaya telah divaksinasi dengan vaksin dos pertama di bawah Program Vaksinasi Pekerja Industri. 

Dalam pada itu, Sama Jaya High Tech Park mengeksport barang bernilai RM6.93 bilion pada tahun 2020, meningkat 27.5 peratus atau  RM5.43 bilion pada tahun 2019.

Mesyuarat tersebut dihadiri Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Setiausaha Tetap kepada MINTRED Datu Liaw Soon Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad Datu Sharbini Suhaili, Pengarah MIDA Sarawak Redzuan Abdul Rahman, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Kuching Robert Lau, Pengurus Besar Lembaga Air Kuching Rodziah Mohamad. -EDISI UKAS

Share
0

add comment