PPN Perlu Dilaksana Berdasar Keadaan Sarawak

RABU, 14 JULAI 2021

KUCHING: Pelaksanaan peringkat fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sarawak perlu disesuaikan berdasarkan keadaan di negeri ini.

Keputusan itu perlu dilihat dari segi keluasan negeri yang hampir sama dengan Semenanjung Malaysia.

Perkara tersebut antara yang disentuh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam satu sesi libat urus dan perbincangan secara maya antara Kementerian Kewangan Malaysia dan barisan kepimpinan negeri Sarawak mengenai PPN, pada petang Selasa.

Objektif utama perbincangan yang dipengerusikan Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras PPN, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah untuk memperkukuhkan keberkesanan PPN.

Kerajaan Sarawak diketuai Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.

Dalam pada itu, antara pekara berkaitan yang turut dibentangkan pihak Kerajaan Sarawak termasuk program pemberian vaksin di negeri ini yang sedang berjalan dengan lancar, program pembangunan infrastruktur, pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), industri pengeluaran dan pelaburan asing, sebagai teras untuk mempertingkatkan ekonomi Sarawak.

Faktor teras juga merangkumi potensi pertanian berdasarkan IOT (Internet of Things) dan ekonomi berasaskan kelestarian sumber dan keselamatan di sempadan yang amat panjang antara Sarawak dan Kalimantan yang mempunyai kesan mendalam ke atas sosio-ekonomi Sarawak.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar James Jemut Masing (Presiden Parti Rakyat Sarawak) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian (Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak) dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Penguang Manggil yang mewakili Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP). -EDISI UKAS

Share
0

add comment