Program Ziarah Belia Inisiatif Kerajaan Sarawak Bantu Kelab Belia Anjur Aktiviti Bermanfaat

RABU, 14 JULAI 2021

MIRI: Penganjuran Program Ziarah Belia ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak dalam memastikan keselamatan penduduk khususnya belia terjamin semasa penularan pandemik COVID-19.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, selain pelitup muka dan penyukat suhu turut disampaikan bahan-bahan lain seperti peralatan sukan dan rekreasi kepada kelab belia. 

“Sebelum ini, pada minggu lepas kita telah adakan program yang sama di Samarahan.

“Setiap kampung yang ada pertubuhan belia telah kita agihkan peralatan bagi menyuntik semangat belia mengatur apa-apa program ataupun terlibat sama dengan program yang dilakukan dengan menggunakan bahan yang telah kita agihkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Ziarah Belia @ Lambir 2021 di Dewan Masyarakat Kampung Bakam, Miri pada Selasa. 

Datuk Abdul Karim turut memberitahu penganjuran Program Ziarah Belia @ Lambir 2021 yang diadakan ini telah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan. 

“Majlis kita pada hari ini (Selasa) telah mendapat kelulusan daripada  JPBN Sarawak dengan tertakluk kepada SOP-SOP yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat meminta Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelancongan Sarawak untuk membantu mempromosikan Bakam Point sebagai produk pelancongan bagi pelancong domestik dan luar negara sekaligus meningkatkan sosioekonomi penduduk. 

“Kita pun sebenarnya hari ini mengambil kesempatan membawa Datuk Abdul Karim melihat perkembangan penambahbaikan ‘Bakam Point’.

“Ini merupakan satu produk sukan pelancongan domestik dan luar negara bagi membolehkan sosioekonomi di Bakam ini akan meningkat. 

“Kawasan ini terkenal dengan produk hasilan nelayan dan juga pertanian boleh dipasarkan di Bakam Point,” katanya. 

Turut hadir Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, ADUN Daro Safiee Ahmad dan Nancy Jolhi Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sarawak. -EDISI UKAS