RABU, 14 JULAI 2021
SEBAUH: Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom telah mendengar taklimat pembangunan yang disampaikan Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi berhubung projek-projek pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan di Daerah Sebauh ketika ini.
Turut disentuh projek-projek pembangunan yang telah diluluskan Ketua Menteri semasa lawatannya ke Daerah Sebauh pada Julai 2019 melibatkan penurunan kadar premium tanah Lot Skim Penempatan Semula Sebauh, Pembinaan Masjid Daerah Sebauh, Pembinaan Gereja Baru Daerah Sebauh, Penyambungan Tebingan Sebauh dan Bina Baru Jalan Gunasama Perkuburan Melayu dan Cina dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM36.15 juta.
Katanya, walaupun projek pembangunan ini mengalami kelewatan, ianya tetap diteruskan untuk kemudahan dan manfaat rakyat di Daerah Sebauh.
“Kita dapat melihat beberapa billion projek yang lewat siap seperti jambatan disebabkan oleh pandemik dan jalan Kampung Hilir Sebauh yang turut mengalami sedikit kelewatan.
“Begitu juga beberapa projek yang telah diluluskan Ketua Menteri yang baru hendak dilaksanakan seperti gereja, masjid, mini stadium dan waterfront Sebauh yang baru.
“Kemungkinan setahun dua baru dapat melaksanakan projek ini yang menelan belanja hampir berapa ratus juta,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke lokasi Bank Bergerak Bank Rakyat di tempat letak kereta Riverfront Sebauh pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Dr Stephen Rundi yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena menegaskan pembangunan yang dilaksanakan hari ini adalah untuk melihat Daerah Sebauh berkembang pesat dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya ingin melihat perkembangan Pekan Sebauh bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga perkembangan dari segi ekonomi, pendidikan dan sebagainya,” tegasnya.
Hadir sama Timbalan Residen Bintulu Hussaini Hakim dan Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak Jenny Bangga. -EDISI UKAS