Pusat Pemberian Vaksin Dewan Perpaduan Kampung Semera Jadi Tumpuan, 900 Orang Divaksinasi

RABU, 14 JULAI 2021

SADONG JAYA: Kira-kira seramai 900 orang penduduk dari lapan kampung di sekitar Sadong Jaya menerima suntikan dos pertama vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Perpaduan Kampung Semera, pada Rabu.

PPV Dewan Perpaduan Semera yang beroperasi memasuki hari kedua merupakan inisiatif daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan dan PPV berkenaan adalah yang kedua selepas PPV Sadong Jaya Laut.

Pemberian vaksin di PPV Dewan Perpaduan Semera tersebut melibatkan penduduk Kampung Jemukan, Kampung Iboi Ulu, Kampung Iboi Laut, Kampung Pelandok, Kampung Jaie, Kampung Sadong Jaya, Kampung Rangkang, Kampung Rangawan, Klinik Kesihatan Semera dan mereka yang tercicir menerima suntikan vaksin dos pertama.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo turut turun padang menyaksikan petugas kesihatan melakukan suntikan vaksin kepada para penerima.

Setiausaha Politik Kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie juga hadir bagi memantau operasi di PPV berkenaan.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras PPV Dewan Perpaduan Semera, Dr Liew Chau Ling memberitahu, program vaksinasi berjalan lancar dengan setiap penerima vaksin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Hasil tinjauan mendapati para penerima vaksin hadir seawal pukul 8 pagi serta dilihat begitu bersemangat untuk mendapatkan vaksin masing-masing.

Mereka juga menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana mewujudkan PPV di kawasan Sadong Jaya sekaligus memudahkan penduduk mendapatkan suntikan vaksin. -EDISI UKAS

Share
0

add comment