Sibu Pertama Miliki Tempat Transit Gelandangan

RABU, 14 JULAI 2021

SIBU: Sibu bakal menjadi bahagian negeri pertama di Sarawak memiliki Tempat Transit Gelandangan (TTG) sebaik kerja-kerja mengubah suai Rumah MAKSAK Bahagian Sibu untuk dijadikan pusat itu siap sepenuhnya pada penghujung September 2021.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata apabila siap kelak, TTG Sibu mampu menempatkan seramai 40 gelandangan, 20 lelaki dan 20 wanita pada satu-satu masa.

Tambahnya, antara komponen dalam TTG Sibu adalah asrama wanita dan lelaki, dewan makan, dewan serbaguna, tandas dan tempat mandi lelaki dan wanita, ruang social enterprise, bilik konsultansi dan bilik pemeriksaan kesihatan.

“TTG Sibu ini adalah sebuah projek sokongan sosial untuk komuniti gelandangan di Sibu yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Sarawak pada tahun 2020.

“TTG Sibu berfungsi sebagai tempat persinggahan sementara untuk gelandangan membersihkan diri, makan dan tidur pada malam hari. Pada hari siang berikutnya, mereka akan keluar untuk urusan masing-masing.

“Latihan juga akan diberikan untuk membantu mereka menjana pendapatan,” katanya semasa meninjau tapak TTG Sibu itu pada Rabu.

Menurut Dato Sri Fatimah, operasi TTG Sibu akan dikendalikan oleh Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGOs) yang dilantik secara rasmi oleh Jawatankuasa Penyelarasan Gelandangan Sarawak (JPGS).

Manakala Persatuan Amal Shan Xin Malaysia Cawangan Sibu akan bertindak sebagai anchor dengan kolaborasi daripada Gabungan Persatuan Cina (UCA) Bahagian Sibu, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cawangan Sibu, Lions Club Sibu, Junior Chamber International (JCI) Malaysia Sibu, KRT Brooke Drive dan KRT Empawah, Chinese Annual Conference, Methodist Church in Malaysia Sibu dan beberapa lagi NGO serta mereka yang telah menyatakan komitmen untuk menyumbang kepada TTG Sibu nanti.

Jelas Dato Sri Fatimah, penglibatan badan bukan kerajaan dalam operasi TTG Sibu amat dialu-alukan bagi mencapai matlamat besar Kerajaan Sarawak menjelang tahun 2030 sebagai negeri maju dan seimbang, ‘where nobody is left behind’.

Terdahulu, beliau merasmikan simbolik Penyerahan Plaque dan Pelekat Rakan Strategik Kenyalang Gold Card (KGC) di Fortune Supreme Food Supply (Sibu) Sdn. Bhd.

Setakat 30 Jun 2021, JKMS telah menerima sebanyak 207,452 permohonan KGC bermula pada tahun 2020 dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 11,592 permohonan KGC diterima bagi Januari hingga 30 Jun 2021. – EDISI UKAS

Share
0

add comment