Tidak Boleh Rentas Daerah, Penduduk Dilimpahi Rezeki

RABU, 14 JULAI 2021

LONG PANAI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih sebulan hingga menyebabkan penduduk tidak boleh merentas daerah  telah membolehkan penduduk memikirkan cara terbaik untuk meneruskan kehidupan mereka dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan orang lain.

Bagi masyarakat Kayan di Long Panai, mereka bijak menggunakan keadaan yang sedia ada ini dengan mencari rezeki di sungai dan menikmati hasil kebun buah-buahan bagi menampung keperluan hidup terutama di musim PKP ini. 

Ketika musim banjir dan air pasang ini, penduduk yang merupakan nelayan sungai telah memasang kail dan menangkap ikan dengan menggunakan perangkap ikan yang dipanggil ‘Selambau’ oleh masyarakat tempatan. 

Hasilnya sangat lumayan apabila ikan seperti Tapah, Belida dan ikan sungai yang lain yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi berjaya dinaikan.

Misalnya ikan Tapah, harga bagi setiap satu kilo ialah RM50 dan hasil yang diperolehi melebihi 10 kilo ke atas setiap seekor. 

Manakala, bagi penduduk yang mengusahakan kebun buah-buahan dan sayur-sayuran, mereka kini boleh menarik nafas lega apabila buah-buahan yang ditanam mula berbuah dan tumbuh segar.

Ketika ini, buah ‘engkalak’ tumbuh segar dan banyak selain beberapa jenis buah lain yang memberi rezeki kepada penduduk. 

Selain dimakan sendiri, hasil ikan dan buah-buahan ini dikongsi bersama penduduk rumah panjang dan selebihnya akan dikirim kepada anak-anak yang berada di bandar. -EDISI  UKAS

Share
0

add comment