236 Syarikat Berdaftar Di Bawah MINTRED Membabitkan 43,050 Pekerja Sektor Pembuatan Telah Terima Vaksin COVID-19

KHAMIS, 15 JULAI 2021

MIRI: Kerajaan Sarawak telah mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) sebagai sebahagian daripada usaha mempercepatkan vaksinasi COVID-19 dalam sektor perindustrian termasuk minyak dan gas sekaligus mencapai Imuniti Kelompok menjelang Ogos ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata sehingga kini sebanyak 236 syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) membabitkan 43,050 pekerja di sektor pembuatan telah  terlibat dalam Program Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN).

“Samalaju Industrial Investors Association (SIIA) sebanyak 47 syarikat dengan 10,051 pekerja, Sarawak Elektronics and Supporting Industries Companies Association (SECA) sebanyak 24 syarikat dengan 11,127 pekerja, Sarawak Association of Maritime Industries (Shipbuilding) sebanyak 45 syarikat dengan 2,448 pekerja, Sarawak Timber Association (STA) sebanyak 64 syarikat dengan 13,423 pekerja, Sarawak Manufacturers Association (SMA) sebanyak 30 syarikat dengan 2,565 pekerja dan Federations of Malaysia Manufacturer (FMM) sebanyak 26 syarikat dengan 3,345 pekerja. 

“Jumlah keseluruhan syarikat yang terlibat ialah 236 dengan 43,050 pekerja,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Shin Yang Plywood Bahagian Miri pada Selasa. 

Setakat 13 Julai, Sarawak telah memberikan vaksinasi 1,437,565 orang atau 70.38 peratus dos pertama daripada populasi penduduk Sarawak dan 661,799 atau 32.4 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 dos kedua. 

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak turut menambah seramai 33,525 pekerja yang terlibat dalam sektor pembuatan telah menerima suntikan vaksinasi dos pertama dengan 8,270 pekerja dalam sektor berasaskan kayu. 

Sementara itu, dua lagi PPVIN telah dicadangkan untuk Menawan Wood Sdn Bhd di Murum dan Shin Yang Wood System Sdn Bhd di Belaga yang akan memberi manfaat kepada 1,371 pekerja secara keseluruhannya. 

Selepas melawat PPVIN Shin Yang, Datuk Amar Awang Tengah melawat Shin Yang Agriculture Green House bagi melihat teknologi baru untuk menanam sayur dan Shin Yang Harvesting of Falcata Logs Planted Under LPF SYP dalam aktiviti pembalakan.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin, Pengerusi Eksekutif Shin Yang Plywood Sdn Bhd Kuala Baram Miri Tan Sri Datuk Ling Chiong Ho, Menteri Muda Pembangunan Usahawan Dan Perusahaan Kecil & Sederhana Sarawak Datuk Mohd. Naroden Majais, Menteri Muda Perdagangam Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Malcom Mussen Lamoh, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Zaidi Mahdi, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohamad, Pengurus Besar STIDC Hashim Bojet, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Abdullah Julaihi, Penasihat JPBB Miri Senator Dr Nuing Jeluing, Pemangku Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi COVID Immunisation Task Force (CITF) Bahagian Miri Jamalie Busri.-EDISI UKAS

Share
0

add comment