Ahli Parlimen Kota Samarahan Serah Bantuan Bakul Makanan PEMULIH Daerah Samarahan

KHAMIS, 15 JULAI 2021

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 2,400 bakul makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) diagihkan kepada golongan asnaf yang layak di DUN Muara Tuang dan DUN Stakan.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata, masing-masing sebanyak 1,200 bakul makanan diagihkan di kedua-dua konstituensi berkenaan.

Menurutnya, antara kampung-kampung yang terlibat bagi penyerahan simbolik tersebut adalah Kampung Muara Tuang (67 bakul makanan), Kampung Keranji (20 bakul makanan), Kampung Stakan Cina (270 bakul makanan) dan Kampung Sidarud (22 bakul makanan).

“Senarai penerima yang layak itu merupakan mereka yang terjejas pendapatan dan telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Khas Bantuan Bakul Makanan.

“Jawatankuasa itu terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah Samarahan (E-Kasih), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS),” katanya semasa menyampaikan bantuan bakul makanan secara simbolik di Kampung Muara Tuang pada Khamis.

Sementara itu, Rubiah Wang berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban penerima bantuan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia atas bantuan pengagihan bakul makanan tersebut di kawasan DUN Muara Tuang dan DUN Stakan.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Da’an mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan Persekutuan menerusi pakej bantuan PEMULIH khususnya di kawasan Parlimen Kota Samarahan. EDISI UKAS

Share
0

add comment