ATM Sentiasa Siap Siaga Bantu Perangi Covid-19

KHAMIS, 15 JULAI 2021

MUKAH: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan Sekatan Jalan Raya (SJR) untuk membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Jaminan itu dinyatakan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mardzuki Muhammad sambil menjelaskan pihak ATM tiada masalah untuk melaksanakan arahan yang telah diberikan.

Menjelas kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) semasa melawat SJR Jebungan pada Rabu, beliau berkata SJR dilaksanakan untuk mengawal pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kami sudah berada di sini sejak 14 Jun, kami sentiasa bersedia pada bila-bila masa diaturgerakkan untuk bekerjasama saling membantu dengan pihak PDRM untuk menentukan penyebaran wabak Covid-19 dikurangkan.

“Bagi pihak ATM, kami sentiasa sedia untuk membantu dan tiada masalah untuk melaksanakan arahan yang telah diberikan,” katanya.

Selain SJR Simpang Jebungan, Leftenan Jeneral Dato’ Mardzuki turut melawat Teratak Imban, Kem RASCOM, Sibu dan berangkat ke Bintulu melalui jalan pesisir pantai.

Hadir sama Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Dzulkafli Mustaffa; Panglima Briged Ketiga Puluh Satu Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Abdul Zaidi Abdul Majis; Penglima Briged Kesembilan, Brigedier Jeneral Shamshor Jaafar dan Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias. – EDISI UKAS

Share
0

add comment