Dato Dr Juanda Lakukan Lawatan Kerja Ke Matu Dan Igan

RABU, 15 JULAI 2021

MATU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Dato Dr Juanda Jaya telah melakukan tinjauan ke atas beberapa projek di Matu pada Rabu.

Antara projek tersebut adalah projek Menaiktaraf Pusat Penghasilan dan Penggumpulan Kraftangan Daerah Matu di Kampung Treng Matu dan projek menaiktaraf tempat pertukangan berasaskan besi di Kampung Tian Matu.

Selain menyediakan tempat untuk penduduk menghasilkan kraftangan dan pertukangan berasaskan besi untuk pasaran, siapnya projek itu nanti mampu menarik pelancong dari luar.

Di Kampung Bawang Matu, beliau meninjau tapak program projek kecil luar bandar (MRP) Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).

Lawatan beliau diteruskan meninjau tapak bina baru jalan dan dataran di Kampung Jemoreng, Matu.

Pada program berasingan Dato Dr Juanda menyantuni para petugas dan penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Igan.

Program tersebut menyaksikan seramai 120 penduduk hadir bagi mendapatkan vaksin COVID-19.

Beliau dimaklumkan penerima vaksin hadir seawal jam 6.30 pagi terutama yang tinggal di pesisir Sungai Igan yang menggunakan bot.

Mereka memilih untuk datang awal atas faktor kesesuaian pasang surut sungai dan keadaan cuaca.

Lawatan beliau diteruskan dengan meninjau tiga buah kediaman di Igan yang akan dibaikpulih menggunakan peruntukan MRP-PPRMS.

Penerima projek merakamkan ucapan terima kasih diatas usaha beliau meluluskan projek tersebut.

Penduduk juga berharap kerja-kerja baikpulih akan dilakukan dalam masa terdekat dan lancar. -EDISI UKAS

Share
0

add comment