NSJA Serah Bantuan Makanan Kepada Petugas Barisan Hadapan Di 4 Lokasi SJR

KHAMIS, 15 JULAI 2021

MIRI: Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) telah menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di 4 lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Bahagian Miri.

Presidennya Andy Jong Wan Joon dalam kenyataan medianya pada Rabu memberitahu, pelaksanaan Program CSR yang bertemakan ‘Program Prihatin Kasih’ itu bertujuan menghargai pengorbanan dan jasa petugas barisan hadapan yang telah banyak menyumbang jasa dan tenaga demi memutuskan rantaian jangkitan serta menangani penularan wabak COVID-19.

“Aktiviti CSR kepada petugas barisan hadapan ini merupakan program julung kali kalinya adakan kepada petugas barisan hadapan setelah pandemik COVID-19 bermula melanda di negara kita sejak bulan Mac tahun lepas,” katanya. 

Tambah Andy lagi sumbangan itu juga sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang terus komited menjalankan tugas diamanahkan dalam usaha membantu kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19.

“4 lokasi SJR yang telah dikunjungi oleh NSJA di Miri,  merangkumi Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Bakam Miri (Hadapan Balai Polis Tanjung), Jalan Miri – Bintulu (hadapan Balai Polis Trafik Miri), Jalan Bakam Miri (Simpang Kampung Sungai Rait) dan Jalan Lambir (Simpang Kampung Tunku Abdul Rahman).

“Antara barang yang disumbangkan ialah roti kacang merah dan mentega, biskut, air mineral 500ml, susu kacang soya dan pelitup muka,” katanya. 

Sarawak yang memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Rabu masih mengekalkan SJR di Jalan Bakam Miri (Simpang Kampung Sungai Rait) dan Jalan Lambir (Simpang Kpg Tunku Abdul Rahman) yang beroperasi 24 jam. 

Hadir sama Setiausaha NSJA Michelle Choo Lee Nyuk, Naib Bendahari NSJA Esther Ching dan Ahli Jawatankuasa NSJA Alan Yong dan Liew Li Mui.-EDISI UKAS

Share
0

add comment