Permohonan Sertai TEGAS Social Impact Accelerator Kali Kedua Kini Dibuka

KHAMIS, 15 JULAI 2021

KUCHING: Selaras dengan misi kerajaan Sarawak untuk mempromosikan inovasi sosial dan keusahawanan, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) berkolaborasi dengan Me.reka bagi membuka permohonan untuk kali kedua bagi program TEGAS Social Impact Accelerator (SIA).

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh memberitahu, program tersebut berdurasi selama enam bulan bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan perusahaan sosial dan perniagaan peringkat awal sekaligus memberikan impak kepada Sarawak.

 “Cabang pendidikan The Biji-biji Initiative (TBI) iaitu sebuah perusahaan sosial berteraskan pembangunan lestari dengan menggunakan bahan kitar semula secara kreatif dan kolaboratif berlangsung dari November 2021 hingga April 2022 dengan kerjasama Me.reka.

“Ianya pendidikan inovatif abad ke-21 yang menyediakan program peningkatan kapasiti kepada belia, usahawan baru dan organisasi impak,” katanya.

Jelasnya, SIA terbuka untuk perusahaan sosial dan perniagaan yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau badan pendaftaran lain yang diiktiraf dengan sekurang-kurangnya 51 peratus pemegang saham Sarawak atau seorang pengasas dari Sarawak yang telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dengan bukti hasil pemerolehan pelanggan.

“Program SIA menggabungkan pembelajaran ekonomi digital masa depan, dengan pemikiran keusahawanan dan penciptaan impak yang diperlukan bagi rakyat Sarawak untuk menubuhkan perniagaan sosial.

“Terdahulu, kami telah membantu lima perusahaan sosial iaitu dari Kuching, Miri dan Baram (Long Nen) melalui program ini dengan menyediakan akses kepada mentor, pelabur, rakan ekosistem serta akses percuma ke TEGAS Digital Innovation Hub di Kuching, Bintulu dan Miri.

“Perusahaan sosial ini termasuklah Pungu Borneo, Jonita Enterprise, EdaBeran, SupaReaders, dan Timogah. ” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan selaku pengasas bersama Biji -Biji Inisiatif dan Me.reka, Rashvin Pal Singh memaklumkan perusahaan sosial yang terpilih akan mendapat geran dana berjumlah keseluruhan RM35,000 termasuk bimbingan dan akses ke rangkaian pelabur, akses selama enam bulan ke TEGAS Digital Innovation Hub Kuching, Bintulu dan Miri serta Maker Space Kuala Lumpur.

“Selain itu, mereka turut mendapat akses selama enam bulan bagi platform bimbingan dalam talian FutureLab, biasiswa untuk kursus pensijilan profesional atas talian dari Digital Marketing Institute dan laluan hijau untuk menyertai program ‘scale-up’ yang dianjurkan oleh TEGAS Digital Village.

“Melalui program intensif ini, perusahaan sosial terpilih akan menerima sesi bimbingan dua minggu selama enam bulan dan sokongan yang akan membolehkan mereka mendapat akses pasaran, bakat dan modal,” ujarnya.

Beliau menambah, perusahaan sosial yang berdaftar akan mengikuti sesi ‘bootcamp’ yang akan berlangsung dari September hingga Oktober 2021 dan hanya lima perusahaan sosial yang terpilih layak untuk mengikuti program bimbingan selama enam bulan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai permohonan tesebut boleh lawati http://bit.ly/TSIA2021. –EDISI UKAS

Share
0

add comment