Petugas Barisan Hadapan Di SJR Simpang Engkilili Terima Sumbangan Bakul Makanan

KHAMIS, 15 JULAI 2021

ENGKILILI: Seramai 10 petugas barisan hadapan terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan (RELA) yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) simpang Engkilili menerima sumbangan bakul makanan sumbangan Pertubuhan Peladang Kawasan, Jabatan Pertanian Daerah Engkilili bersempena dengan Majlis Peladang Prihatin pada Rabu.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis menyerahkan sumbangan bakul makanan yang berbentuk buah-buahan kepada Sarjan Mejar Sen Sipi yang mengetuai petugas di SJR tersebut sebagai wakil penerima.

Dalam ucapan ringkasnya, Datuk Francis Harden merakamkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan atas usaha memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang telah ditetapkan.

“Ribuan terima kasih kepada petugas barisan hadapan kerana tidak mengenal penat dan lelah bekerja siang dan malam demi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang telah ditetapkan demi membendung penularan wabak COVID-19,” katanya ketika menyerahkan sumbangan tersebut.

Dalam pada itu beliau menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama demi memudahkan dan melancarkan gerak kerja mereka.

Selain daripada memberi sumbangan kepada barisan hadapan  program tersebut juga turut mempromosikan hasil produk tempatan serta mempergiat pemasaran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang mensasarkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Kuarantin, barisan hadapan seperti hospital, balai polis, SJR, pusat kebajikan, Pusat Khidmat DUN serta rumah anak yatim.

Program tersebut adalah salah satu daripada kerja amal sosial PPK yang menyedia dan menghantar hasil ladang ke lokasi yang terpilih.

Para petugas barisan hadapan dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Peladang Kawasan melalui Jabatan Pertanian Engkilili atas sumbangan tersebut di samping mengeratkan silaturahim antara sesama agensi kerajaan di kawasan tersebut.-EDISI UKAS

Share
0

add comment