PKPD Mula Dilaksana, Penduduk Kampung Jagoi Duyoh Jangan Panik

KHAMIS, 15 JULAI 2021

BAU: Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar)merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datu Ik Pahon Joyik mengadakan mesyuarat penyelarasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Jagoi Duyoh pada Rabu.

Beliau menasihatkan penduduk Kampung Jagoi Duyoh yang menjalani PKPD mulai 15 Julai diminta jangan panik dan terus memberikan kerjasama kepada pihak agensi terlibat agar penularan jangkitan COVID-19 dapat dikawal sepenuhnya.

“Sekiranya ahli keluarga penduduk kampung yang berada di luar kawasan PKPD ingin menghantar barangan termasuk makanan, ubat-ubatan dan sebagainya adalah dibenarkan dengan meletakkan barangan di Sekatan Jalan Raya (SJR) agar dapat dihantar oleh petugas kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Bau, Dr Winnie Johnny memaklumkan kes positif COVID-19 yang dikesan di Kampung Jagoi Duyoh secara kumulatifnya sejak awal tahun ini sehingga Jun lepas adalah sebanyak 18 kes.

“Hasil saringan kontak kemudian mendapati sebanyak lima buah keluarga telah dikesan dan dalam tempoh seminggu sebanyak 22 kes postif COVID-19 secara kumulatif telah dikesan setakat 13 Julai.

“Pengesanan Kes Aktif (ACD) pertama dilakukan pada 15 Julai manakala ACD kedua akan dilakukan pada hari ke sepuluh iaitu pada 24 Julai ini,” ujarnya. –EDISI UKAS

Share
0

add comment