Program Imunisasi Di Dalat Terus Rancak Dilaksanakan, 520 Lagi Lengkap Dua Dos Suntikan

KHAMIS, 15 JULAI 2021

DALAT: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Daerah Dalat terus rancak dilaksanakan menyaksikan seramai 800 lagi penduduk menerima suntikan vaksinasi pada Rabu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Perpaduan Dalat.

Daripada jumlah tersebut, seramai 280 individu menerima dos pertama manakala 520 orang lagi menerima dos kedua yang terdiri dari penduduk sekitar Dalat dan Daerah Kecil Oya.

Tinjauan wartawan UKAS di lapangan mendapati semakin ramai penduduk di Dalat sedar akan kepentingan pengambilan suntikan vaksin untuk memberi keyakinan kepada mereka selain bagi melindungi diri dan orang lain.

Ada di antara mereka yang telah tiba di PPV seawal jam 8 pagi malah ada yang sanggup menunggu sebagai penama dalam senarai menunggu sehingga proses pendaftaran selesai.

Majoriti yang ditemui inginkan keadaan kembali pulih seperti dahulu agar mereka dapat menjalankan kehidupan normal dan menjalankan perniagaan mereka.

Bagi yang telah melengkapkan dua dos suntikan, mereka berasa bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang terlibat kerana banyak membantu memudahkan urusan sepanjang proses vaksinasi. – EDISI UKAS

Share
0

add comment