Program Peladang Prihatin Inisiatif Kerajaan Sarawak Bantu Petani Jual Hasil Tanaman

KHAMIS, 15 JULAI 2021

LIMBANG: Pertubuhan Peladang Kawasan Limbang telah mengadakan Program Peladang Prihatin dengan membeli produk petani tempatan dan diagihkan kepada kepada petugas barisan hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, ini merupakan siri kelima telah diadakan di Daerah Limbang dengan objektif sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di PPV.

“Projek ini dikendalikan Jabatan Pertanian melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Limbang yang menggunakan dana daripada Kerajaan Sarawak. 

“Konsepnya, PPK membeli hasil atau produk daripada petani dan diagihkan kepada petugas barisan hadapan di PPV secara percuma. 

“Selain itu, kaedah ini juga membantu petani yang tidak dapat menjual hasil tani pada musim pandemik dengan membeli daripada mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyerahkan hasil tani kepada petugas barisan hadapan di PPV Medamit dan PPV Batu Danau dalam Program Peladang Prihatin Sarawak Daerah Limbang Siri 2 dan 3 pada Rabu. 

Sementara itu, Ketua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Medamit ketika ditemui memaklumkan proses vaksinasi di PPV Medamit berjalan lancar dengan 2,080 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19. 

“Setakat hari ini (Rabu) penerima vaksin adalah seramai 2,080 orang di PPV Medamit dan bakinya 680 akan dihabiskan dalam tempoh 3 hari lagi. 

“Penduduk di kawasan Medamit memberi respon yang positif terhadap pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19. Mereka yang telah mendapat suntikan dos pertama telah melengkapkan suntikan vaksin dos kedua dengan hadir ke PPV.

“Walaupun begitu terdapat beberapa orang yang tidak dapat datang untuk dos kedua atas faktor kesihatan dan berada di luar kawasan Medamit,” katanya. 

Setakat Rabu, seramai 2,760 orang telah berjaya di vaksin untuk dos pertama dan 2,080 orang lagi dos kedua di PPV Medamit manakala di PPV Batu Danau pula seramai 4,003 orang dos pertama dan 1,844 orang dos kedua.

Turut sama hadir ialah Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Jakaria Rambli, Ketua PPV BAtu Danau Dr Siti Basyrina Bahari, Pegawai Pertanian Amirul Fiktri Jemali Penguasa Jabatan Pertanian Daerah Limbang Christopher Dawat Anur dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Limbang Michael Misau Beng. -EDISI UKAS

Share
0

add comment