Program Vaksinasi Bergerak Di Dewan Al-Abyad, Masjid Matang Jaya Suntik 1,423 Penduduk

KHAMIS, 15 JULAI 2021

KUCHING: Pasukan Program ‘Outreach’ Vaksinasi Bergerak telah memberi suntikan vaksin COVID-19 di Dewan Al-Abyad, Masjid Matang Jaya pada Rabu dan berjaya melakukan sebanyak 1,423 suntikan dos.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, program pemberian vaksin itu merupakan program yang keenam yang telah dilancarkan.

“Yang pertama kita buat di Kampung Kolong 2, yang kedua di Kampung Paroh, yang ketiga di Matang Batu 10, yang keempat di Kampung Sagah, yang kelima di Dewan SUPP Matang dan keenam Dewan Al-Abyad, Masjid Matang Jaya di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses pemberian vaksin di kawasan tersebut bersama Ahli Dewan Negara merangkap Timbalan Ketua Cawangan Tupong, Senator Dr Zaiedi Suhaili.

Untuk makluman, penerima di lokasi tersebut adalah merupakan penduduk Taman Matang Jaya, Taman Yen-yen, Taman Won, Kampung Gita Baru, Kampung Gita Lama, Kampung Gita Laut, Kampung Pinang Jawa, Kampung Tupong Tengah, Kampung Tupong Ulu, Kampung Tupong Jaya, Tupong Batu dan beberapa taman yang berdekatan.

Proses pengambilan vaksin di kawasan itu diurus oleh EXCO Cawangan dan dibantu oleh beliawanis DUN Tupong bagi melancarkan lagi proses pemberian vaksin tersebut.

Untuk rekod, secara keseluruhannya program itu telah memberi vaksin dos pertama kepada seramai 7,020 orang penduduk di kawasan Tupong.

Pengambilan dos kedua untuk mereka akan mula berlangsung pada 17 Julai 2021 iaitu di Kampung Kolong dan diikuti lokaliti seterusnya seperti pengambilan vaksin dos pertama yang telah dijadualkan sebelum ini.-EDISI UKAS

Share
0

add comment