Projek RTP Jambatan Sungai Mansau Siap Sepenuhnya, Cadangan Persempadanan Semula Daerah Kecil Pantu

KHAMIS, 15 JULAI 2021

SRI AMAN :  Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion pada Khamis telah mengadakan lawatan kerja ke Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Bina Baru Jambatan Sungai Mansau Daerah Pantu yang telah siap sepenuhnya.

Jambatan yang memakan kos sebanyak RM300,000 itu mula dibina pada tahun 2019, dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Sri Aman bagi menggantikan jambatan kayu lama yang telah usang.

Lawatan beliau turut disertai Residen Bahagian Sri Aman,Indit Bangai, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman,Elvis Didit, Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee, Penguasa Pejabat Daerah Kecil Pantu,Royston Francis, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman,Doris Synia serta Jurutera Bahagian Jabatan Kerjaraya Sri Aman,IR Christopher George.

Terdahulu, beliau bersama rombongan mengadakan taklimat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Pantu, bagi membincangkan mengenai cadangan persempadanan semula Daerah Kecil Pantu dengan pengambilan beberapa buah kampung dibawah tadbir Daerah Simunjan.

Ia bertujuan memudahkan lagi tadbir urus di kawasan tersebut, sekaligus menambahbaik pendekatan rakyat diluar bandar dengan pejabat atau agensi kerajaan.

Selain itu, turut dibincangkan, cadangan untuk menjadikan Pantu sebagai sebuah Daerah penuh. -EDISI UKAS

Share
0

add comment