Satu Kluster Covid-19 Telah Dikesan Di Hospital Sentosa, Kuching

KHAMIS, 15 JULAI 2021

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memaklumkan bahawa satu kluster COVID-19 telah dikesan di Hospital Sentosa, Kuching pada 12 Julai 2021 seperti yang telah diumumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada 14 Julai lepas.

Pengarah JKNS, Dato’ Dr Mohamed Sapian Mohamed memaklumkan menerusi kenyataan media pada Khamis, aktiviti saringan termasuk pengesanan kontak dijalankan susulan daripada pengumuman tersebut dan seramai 56 kes positif COVID-19 telah dikesan melibatkan 24 orang petugas kesihatan, 28 orang pesakit dalam, seorang pekerja syarikat konsesi dan tiga orang kontak serumah setakat 14 julai 2021.

Jelasnya, pihak Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching dan pengurusan Hospital Sentosa telah bertindak segera untuk mengawal serta mengekang penularan jangkitan COVID-19 di fasiliti tersebut.

“Langkah-langkah kawalan tersebut adalah merangkumi mengenal pasti kontak rapat di tempat kerja, rumah dan sosial serta melakukan saringan calitan tekak terhadap kontak rapat di tempat kerja, rumah termasuk sosial manakala, tindakan merawat, isolasi dan kuarantin dijalankan mengikut kategori pesakit dan kontak.

“Kemasukan pesakit ke wad pesakit dalam dan kemasukan Orang Kena Tuduh (OKT) di Wad Forensik Lelaki dihentikan serta merta berkuatkuasa pada 14 Julai 2021 serta perkhidmatan pesakit luar diteruskan secara tele-konsultasi manakala perkhidmatan pengambilan ubat dibuat secara pandu lalu.

“‘Terminal cleaning’ juga turut dilakukan di semua lokasi yang terlibat dan perkhidmatan terapi elektrokonvulsif yang melibatkan prosedur aerosol diberhentikan serta merta berkuatkuasa pada 12 Julai 2021 manakala pesakit luar yang memerlukan perkhidmatan eletrokonvulsif berkala dirujuk ke Hospital Umum Sarawak,” katanya.

Tambahnya lagi, Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan akan memantau tahap kesihatan semua petugas terlibat termasuk amalan kawalan infeksi diperketatkan dan dipantau oleh Unit Kawalan Infeksi di kalangan kakitangan dan petugas kesihatan.

Dato’ Dr Mohamed menyeru orang ramai terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengamalkan norma baharu yang telah ditetapkan walaupun telah mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. –EDISI UKAS

Share
0

add comment