Seramai 87,110 Individu Sudah Divaksinasi Di Bahagian Serian

KHAMIS, 15 JULAI 2021

SERIAN: Seramai 87,110 orang individu sudah menerima suntikan dos vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bahagian Serian setakat ini.

Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Sarawak (CITF) Bahagian Serian, Dr. Edmund Shin Chin Vui berkata, daripada jumlah kumulatif itu, seramai 57,185 individu telah menerima suntikan dos pertama, manakala seramai 29,925 orang pula merupakan penerima dos kedua.

Menurutnya, selain tiga lagi PPV yang beroperasi di bahagian berkenaan, terdapat lima PPV lain yang telah diwartakan sebagai pusat pemberian vaksin tambahan iaitu 17th Mile Family Clinic, Klinik Kesihatan Balai Ringin, Klinik Kiu, Klinik Chai, dan Siburan Clinic.

“Dengan adanya PPV tambahan tersebut, program vaksinasi di bahagian Serian dapat dilaksanakan dengan cepat,” jelasnya ketika ditemui pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau mohon kepada semua ketua kaum di bahagian Serian untuk mengenalpasti golongan orang kurang upaya (OKU)dan pesakit terlantar yang tidak dapat menghadiri janji temu vaksinasi.

“Mereka boleh berjumpa dengan penyelaras PPV sama ada di Tebedu, Serian dan Siburan untuk mendapatkan janji temu ‘Injection On Wheels’.

“Maksudnya golongan terbabit tidak perlu berbaris tetapi pihak kesihatan boleh memberi suntikan vaksin tersebut di dalam kereta,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Muda Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Wilayah Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn dan ADUN Bukit Semuja, John Ilus turut turun padang meninjau operasi di PPV Dewan Masyarakat Serian .-EDISI UKAS

Share
0

add comment