1,100 Penduduk Di Daerah Limbang Telah Menerima Bantuan Kasih Kenyalang

JUMAAT, 16 JULAI 2021

LIMBANG: Sejak mula dilaksanakan pada 6 Julai hingga 15 Julai, seramai 1,100 penduduk di Daerah Limbang telah menerima makanan di bawah Bantuan Kasih Kenyalang sumbangan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Limbang.

Menurut Ketua Cawangan TBS Cawangan Limbang Junidi Lamat, program Bantuan Kasih Kenyalang ini telah diadakan di seluruh Sarawak termasuk di Daerah Limbang ini. 

“Inisiatif ini bagi membantu masyarakat yang terputus bekalan makanan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kesan daripada penularan wabak pandemik COVID-19. 

“Pemberian bantuan makanan ini tidak mengira bangsa, agama atau asal mereka sebaliknya memfokuskan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya semasa ditemui selepas menyerahkan makanan Bantuan Kasih kenyalang pada Khamis. 

Tambah Junidi lagi, mereka yang memerlukan bantuan boleh terus datang ke pejabat TBS untuk mendapatkan makanan dengan setiap pemohon perlu mengisi borang ringkas.

“Inisiatif ini adalah untuk menggalakkan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan hadir, mendaftar dan menerima keperluan barangan semasa PKP dan memasuki Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Kedua ini.

“Pengagihan ini akan tamat 16 Julai 2021 jam 4.00 petang di Pejabat TBS Cawangan Limbang,” tambahnya.-EDISI UKAS

Share
0

add comment