Keputusan Permohonan Ke IPT Diketahui Hari Ini

JUMAAT, 16 JULAI 2021

KUCHING: Keputusan permohonan kemasukan ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat sijil, asasi dan diploma serta Ijazah Sarjana Muda Senibina Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan hari ini pada jam 12 tengah hari. 

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan media pada Khamis berkata, keputusan boleh disemak secara dalam talian hari ini di pautan https:// jpt.utm.edu.my, http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, https:// jpt.ums.my dan http://jpt.umt.edu.my.

Tambah kenyataan itu lagi, pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak mulai Sabtu ini hingga 26 Julai di laman web Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ILKA. 

“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan IPTA dan ILKA pada hari sama calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh 10 hari seperti dinyatakan,” katanya. 

Ujar KPT lagi, hanya pemohon yang gagal dan mendapat tawaran program sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi  kemasukan ke universiti awam dan politeknik di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 11 hari mulai esok sehingga 26 Julai. 

Rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA pula boleh diajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline. 

Menurut kenyataan itu, tawaran tempat bagi sesi akademik 2021/2022 muktamad dan sebarang permohonan pertukaran tidak dibenarkan. 

Dasar pemilihan rayuan pelajar tertakluk kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan. -EDISI UKAS

Share
0

add comment