Kerjasama Pelbagai Pihak Lancarkan Program Pemvaksinan Di Luar Bandar

JUMAAT, 16 JULAI 2021

MATU: Kerjasama pelbagai pihak telah mengatasi cabaran untuk proses pemberian vaksin COVID-19 di luar bandar khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng.

Menurut ADUNnya, Dato Dr Juanda Jaya, beliau dan pihak Pejabat Daerah telah menawarkan bantuan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melancarkan lagi proses pemvaksinan di kawasan tersebut.

“Di kawasan luar bandar pelbagai cabaran wujud tetapi cabaran itu akan dapat di atasi dengan kerjasama.

“Pihak saya dan pegawai daerah menawarkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi apa sahaja bantuan yang mereka perlukan.

“Sebab kita mahu pihak kementerian kesihatan, petugas barisan hadapan memberi fokus untuk operasi perubatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Matu dan menyertai Program ‘Mopping’ bersama KKM di Matu pada Khamis.

Tambah beliau, hasil kerjasama pelbagai pihak telah memastikan lebih 90 peratus penduduk di kawasannya telah mendapatkan suntikan vaksin.

“Sebenarnya kita telah sampai ke tahap dos yang kedua dan kita sampai ke tahap ‘mopping’ iaitu pergi ke rumah-rumah untuk memberi vaksin kepada penduduk yangg tidak berdaya untuk pergi ke pusat pemvaksinan seperti mereka yang terlantar dan uzur.

“Jadi pihak kementerian sendiri akan turun dan datang ke rumah memberikan vaksin COVID-19,” tambahnya.

Dalam pada itu, seramai 403 individu menerima dos kedua vaksin COVID-19 dan 120 orang menerima dos pertama di PPV Dewan Suarah Matu.

Manakala 60 orang penduduk tersenarai sebagai penerima vaksin terlantar akan dikunjungi mengikut jadual yang telah ditetapkan. -EDISI UKAS

Share
0

add comment