Lengkap 2 Dos Vaksin, Dikecualikan Ujian Calitan Masuk Ke Bahagian Bintulu

JUMAAT, 16 JULAI 2021

BINTULU: Orang ramai yang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 dalam tempoh dua bulan dan ke atas akan dikecualikan daripada ujian calitan COVID-19 bagi memasuki Bahagian Bintulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu, Jack Aman Luat berkata, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat penyelarasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Kedua.

Bagaimanapun, keputusan itu akan dikaji semula pada akhir bulan ini bergantung kepada situasi jangkitan COVID-19 di Bahagian Bintulu.

“Dua dos vaksin COVID-19 dalam tempoh dua bulan dan ke atas akan dikecualikan daripada ujian swab mandatori sebelum memasuki bahagian Bintulu,” katanya dalam Sidang Media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu pada Khamis. 

Setakat 13 Julai, seramai 157,779 orang atau 78.32 peratus daripada jumlah penduduk 201,442 penduduk yang berusia 18 tahun ke atas di Bahagian Bintulu telah mendapat suntikan vaksin COVID-19 manakala 67,124 atau 33.32 peratus telah selesai mendapat vaksin dos kedua mereka. 

Tambah Jack lagi, sesiapa yang ingin meninggalkan Bintulu atau mereka yang hanya melalui atau transit di Bintulu tidak perlu pergi untuk menjalani ujian calitan COVID-19. 

Dalam pada itu, permit polis masih diperlukan untuk pergerakan antara daerah kerana di bawah PPN Fasa Kedua merentas daerah masih tidak dibenarkan. 

Dalam perkembangan lain, JPBB Bintulu telah mencadangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk membuka kembali sektor ekonomi.

“Jawatankuasa itu juga telah mencadangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk sektor ekonomi di Bintulu beroperasi dari 6 pagi hingga 9 malam,” ujarnya. 

Turut dicadangkan jumlah maksimum penumpang yang dibenarkan dalam kenderaan persendirian adalah seramai tiga orang sahaja. 

Hadir sama Timbalan Residen Bintulu Hussaini Hakim, Pegawai Daerah Bintulu Mohd Dino Amid, Pegawai Kesihatan Bintulu Dr Melvin Chung dan Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Zulkipli Suhaili. -EDISI UKAS

Share
0

add comment