Operasi Vakisnasi Di 2 Lokaliti Ditangguhkan, Penghantaran Vaksin Tetap Diteruskan

JUMAAT, 16 JULAI 2021

MIRI: Hujan lebat yang berterusan melanda Bahagian Miri sejak Isnin lepas telah mengakibatkan beberapa kawasan di pedalaman Baram mengalami banjir.

Keadaan ini telah menyukarkan penduduk datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dalam kenyataan media pada Jumaat berkata, susulan banjir proses vaksinasi di PPV Klinik kawasan Long Lama dan Long Jegan terpaksa ditangguhkan. 

“Pejabat Kesihatan Bahagian Miri memaklumkan bahawa aktiviti pemberian vaksin COVID-19 di PPV tersebut terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu sehingga dimaklumkan kemudian. 

“Selain itu, PPV Klinik Keesihatan di Mulu yang ditangguhkan sebelum ini susulan kawasan sekitarnya mengalami banjir kini telah diaktifkan semula. 

“Bagi PPV Klinik Kesihatan Long Loyang pula, penduduk boleh menggunakan perahu ke PPV berkenaan untuk mendapatkan suntikan vaksin. 

“Manakala, lain-lain Klinik Kesihatan di pedalaman yang dijadualkan menjalankan vaksinasi pada Sabtu akan dinilai semula berdasarkan situasi semasa pada esok pagi,” katanya. 

Dalam kenyataan sama, JPBB Miri turut memberitahu operasi penghantaran vaksin COVID-19 ke kawasan Long Jegan tetap diteruskan. 

“Operasi penghantaran vaksin Pejabat Kesihatan Bahagian Miri yang dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke Long Jegan tetap dilakukan seperti yang telah dijadualkan. 

“Penghantaran vaksin dilakukan dengan menggunakan pesawat jenis AW139 yang berpengkalan di Miri dan telah tiba di beberapa lokasi di pedalaman Baram termasuklah di Long Jegan pada pagi Jumaat,” ujar kenyataan itu. -EDISI UKAS

Share
0

add comment