PPV Dewan Masyarakat Trusan Ditutup Awal, Dijadikan PPS Tempatkan Mangsa Banjir

JUMAAT, 16 JULAI 2021

TRUSAN: Dewan Masyarakat Trusan yang sebelum ini dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpaksa beroperasi setengah hari dan ditutup awal disebabkan tempat itu dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi penduduk di Daerah Kecil Trusan.

Sehingga jam 4.00 petang, seramai 103 mangsa banjir dari 21 buah keluarga telah ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Trusan dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hwa Trusan pada Khamis. 

Jumlah ini merupakan sebahagian daripada mangsa banjir kerana ada di antara mereka yang memilih untuk bersama sahabat dan saudara yang tinggal di kawasan tanah tinggi dalam kampung tersebut sementara menunggu banjir reda. 

Antara penduduk kampung yang terlibat ialah Kampung Gelapas Trusan, Kampung Seberang Kedai Trusan, Kampung Senduyun Trusan, Kampung Masjid Trusan, Kampung Tengah Trusan, Kampung Tanjung Trusan, Kampung Long Tukon Trusan dan Kampung Lubok Abai.

Turut sama dalam memantau situasi ini ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Lawas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). -EDISI UKAS

Share
0

add comment