Tiga Projek Mega Sedang Dalam Pelaksanaan Untuk Daerah Kecil Sematan

JUMAAT, 16 JULAI 2021

LUNDU: Terdapat tiga projek mega sedang giat dilaksanakan di Daerah Kecil Sematan sekaligus akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu ketika meninjau tapak projek di Sematan Lundu pada Khamis menjelaskan, projek tersebut adalah Projek Rakyat bagi menaik taraf Jeti Sematan dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Katanya, projek seterusnya pula ialah Projek Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) iaitu Projek Baikpulih Tembok Penahan dan Penyelengaraan Jalan Trusan Jaya Sematan yang juga dalam pelaksanaan dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

Seterusnya ujar beliau, Projek Landskap di Tebingan Sungai Sematan yang sedang dalam pelaksanaan dengan peruntukan sebanyak RM550,000.

Selain itu, beliau turut memberitahu, cadangan bagi mereka bentuk dan menyiapkan sebuah Dewan Masyarakat atas Lot 172, Sematan dengan peruntukkan sebanyak RM2,240,000 pula masih dalam proses tender dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Walaupun berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun projek diteruskan meskipun terdapat sedikit kelewatan berikutan mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau turut menyeru agar orang ramai untuk memandang serius berkaitan suntikan vaksin COVID-19 kerana ia bukan sahaja untuk melindungi diri malah untuk seluruh masyarakat yang mahu kembali ke rutin normal dalam interaksi sosio-ekonomi sebelum pandemik.-EDISI UKAS

Share
0

add comment