‘Welfare Task Force’ Berjaya Selesaikan 867 Permohonan Bakul Makanan

JUMAAT, 16 JULAI 2021

MIRI: ‘Welfare Task Force’ telah berjaya menyelesaikan sebanyak 867 permohonan bantuan bakul makanan di Bahagian Miri sejak mula dilaksanakan pada 4 Julai lepas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dalam kenyataan media pada Khamis berkata, ‘Welfare Task Force’ telah ditubuhkan di bawah JPBB Miri pada 4 Julai 2021.

“Ianya terdiri daripada 15 rakan strategik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Penubuhan ini merupakan usaha perintis JPBB Miri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyelesaikan aduan dan rujukan permohonan bantuan bakul makanan selain penyelesaian kepada ‘bendera putih’,” katanya. 

Sejak mula dilaksanakan hingga 14 Julai lepas, sebanyak 1,212 permohonan bantuan bakul makanan telah diterima dengan 867 permohonan telah diselesaikan masing-masingnya 490 permohonan di Daerah Miri, lima di Daerah Bekenu, dan 372 di lain-lain daerah.

Permohonan selebihnya iaitu sebanyak 345 permohonan yang diterima pada 13 Julai 2021 dalam proses mendapatkan NGO untuk menghantar bantuan bakul makanan.

‘Welfare Task Force’ ini juga telah membantu JKM mengenal pasti NGO yang dapat menyalurkan bantuan seperti susu, lampin pakai buang, bantuan alat perubatan dan lain-lain bantuan.

Misalnya, HIKMAH Cawangan Miri menghulurkan bantuan susu, Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Miri memberikan susu dan lampin pakai buang dan individu perseorangan menghulurkan bantuan alat perubatan.

Tambah kenyataan itu lagi, penubuhan ‘Welfare Task Force’ ini  juga telah berjaya menyelesaikan hampir kesemua isu ‘bendera puith’ yang dikesan di Bahagian Miri. 

“Ini berdasarkan rujukan dan aduan yang diterima termasuklah untuk kes ‘bendera putih’ berulang. Pegawai JKM akan menjalankan siasatan ke setiap rumah mereka. 

“Dengan adanya kolaborasi di antara agensi kerajaan bersama NGO, syarikat swasta dan orang awam, ramai pemohon bantuan bakul makanan yang benar-benar memerlukan telah dibantu termasuk penerima dari kalangan bukan warganegara Malaysia,” tambahnya. 

Kenyataan itu turut menjelaskan, ada pihak yang mengambil kesempatan melalui trend menaikkan ‘bendera putih’ ini, ianya berpunca daripada beberapa faktor. 

Hasil siasatan pegawai JKM, didapati mereka mencuba untuk nasib, pengaruh rakan-rakan, pengaruh sosial media dan ada yang menjual semula bantuan bakul makanan yang diterima untuk mendapatkan wang.-EDISI UKAS

Share
0

add comment