SABTU, 17 JULAI 2021
DALAT: Berita gembira kepada seramai 130 penduduk di Kampung Tengah Hilir, Dalat selepas Jabatan Tanah dan Survei (JTS) meluluskan permohonan lot tanah di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK).
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata mereka yang lulus adalah sebahagian dari 700 permohonan yang diajukan kepada JTS untuk fasa satu SPK tersebut dan telah melalui beberapa fasa tapisan.
Beliau yang juga ADUN Dalat memberitahu, SPK bertujuan memberi peluang kepada penduduk terutama dari kampung yang sudah tiada tanah lagi untuk mendirikan rumah.
“Permohonan dibuat pada 2017 dan ada 700 permohonan telah dimajukan kepada Land & Survei dan telah melalui beberapa tapisan. Setelah tapisan dibuat, hari ini ada di antara mereka yang telah berjaya dan ini untuk Fasa 1.
“Tujuan SPK ini ialah ianya tentu sekali memberi peluang kepada penduduk kampung terutama dari kampung yang sudah tiada tanah lagi untuk mendirikan rumah,” katanya ketika ditemuramah selepas menyampaikan lot SPK kepada penerima di Kampung Tengah Hilir, Dalat pada Jumaat.
Jelasnya, kriteria yang digunakan JTS dalam memberi lot untuk SPK ialah seorang individu itu tiada lot kediaman dan di dalam keluarga tersebut ada keluarga tambahan selain keadaan rumah asal adaah sesak dan kurang selesa.
Selain itu, pemohon katanya mesti sudah berkahwin dengan pendapatan yang stabil.
Tambah Dato Sri Fatimah, satu perjumpaan akan diadakan dalam masa terdekat untuk melakukan cabutan undi bagi menentukan lot para penerima.
Jelasnya lagi, bayaran premium sebanyak RM2500 akan dikenakan kepada penerima.
Menurutnya, dengan adanya SPK, perancangan pembangunan untuk kampung-kampung di kawasan luar bandar akan lebih teratur walaupun semakin padat dengan jumlah penduduk. – EDISI UKAS