50 Penduduk Di DUN Batu Danau Terima Bantuan Makanan Program Ziarah UKAS

JUMAAT, 17 JULAI 2021

LIMBANG: Inisiatif agensi kerajaan seperti Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) ini telah membantu penduduk yang terkesan akibat penularan wabak pandemik COVID-19 di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang mengucapkan terima kasih kepada UKAS atas bantuan makanan yang disumbangkan kepada penduduk di DUN Batu Danau dalam Program Ziarah UKAS.

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan UKAS di atas bantuan makanan dan peralatan kesihatan yang diberikan ini kepada penduduk yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Bantuan seperti ini akan dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi situasi sukar pandemik COVID-19,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan makanan dan peralatan kesihatan di Dewan Kampung Batu Danau pada Jumaat. 

Dalam Program Ziarah UKAS, seramai 50 orang penduduk yang terdiiri daripada 8 buah lokaliti yang terdiri daripada golongan asnaf menerima sumbangan tersebut. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Danau yang mewakili penerima menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan kepada mereka.

“Mewakili penerima, saya mengucapkan terima kasih kepada UKAS dan Kerajaan Sarawak di atas bantuan ini yang sememangnya sangat diperlukan dalam situasi pandemik COVID-19,” katanya. 

Selepas itu, Paulus telah meninjau ke beberapa lokaliti di kawasan Danau yang dilimpahi air antaranya Klinik Kesihatan Batu Danau dan kawasan rendah di Kampung Batu Danau. -EDISI UKAS

Share
0

add comment