ADUN Jemoreng Turun Padang Bagi Lawat Surau SMK Matu & Taman Sejahtera Matu

SABTU, 17 JULAI 2021

MATU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya telah melakukan tinjauan ke surau SMK Matu dan telah meluluskan peruntukan RM33,000 untuk menghamparkan karpet di dalam surau itu nanti. 

Pengetua sekolah tersebut amat gembira dan berterima kasih atas sumbangan tersebut yang mana keselesaan itu nanti akan dimanfaatkan oleh para guru dan pelajar. 

Dalam pada itu, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya turut menyampaikan peruntukan untuk Persatuan Pendidikan Islam SMK Matu berjumlah RM5,000. 

Beliau kemudiannya melakukan lawatan ke Kampung Sejahtera Matu bagi meninjau kerja-kerja awal pihak SESCO untuk melakukan pemasangan elektrik di kawasan kampung tersebut.

Projek  yang telah diluluskan di bawah program Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF) itu akan memberi manfaat kepada sebanyak 22 buah rumah di kawasan tersebut. 

Penduduk kampung amat gembira dan berterima kasih atas usaha ADUN Jemoreng dalam membawa suara dan merealisasikan impian mereka untuk mendapat bekalan elektrik di rumah masing-masing. 

Sementara itu, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda turut menyaksikan penyampaian cek dari Jabatan Pertanian Daerah Matu kepada lapan orang penerima peruntukan fertigasi di kampung itu. 

Salah seorang penerima, Ahmad Haziq Gani amat gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas peruntukan sebanyak RM26,000 untuk menjalankan tanaman fertigasi.

Haziq berkata, tanaman itu akan diusahakan sebaik mungkin yang mana ia akan membantu menjana pendapatan untuk beliau pada masa akan datang.-EDISI UKAS

Share
0

add comment