ADUN Tanjong Datu Sumbang Agihan Korban Kepada Jawatankuasa Kebajikan dan Sosial Pejabat Daerah Lundu

SABTU, 17 JULAI 2021

LUNDU: Kakitangan Pejabat Daerah Lundu dan Pejabat Daerah Kecil Sematan telah menerima sumbangan berupa agihan korban bersempena dengan Hari Raya Korban yang akan tiba tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu telah menyerahkan sumbangan tersebut bagi menghargai usaha kakitangan di situ khususnya semasa musim pandemik ini.

Sumbangan tersebut telah disampaikan secara simbolik oleh Datuk Amar Jamilah kepada Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Sosial Pejabat Daerah Lundu, Jamsari Ahamad di Pejabat Daerah Lundu pada Jumaat.

ADUN Tanjong Datu itu berharap agar ketekunan dan ketabahan kakitangan awam khususnya kakitangan di Pejabat Daerah Lundu dan Pejabat Daerah Kecil Sematan masih kekal utuh semasa melaksanakan tugas-tugas terutamanya dengan peningkatan kes COVID-19 yang semakin meningkat di daerah Lundu.

Dalam majlis sama, Datuk Amar Jamilah juga menyampaikan Kit Anti Dadah Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) kepada wakil Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Sematan-Lundu iaitu KK Awang Sulong. 

Beliau turut menggesa agar lebih ramai kakitangan awam dan orang ramai untuk menyertai PEMADAM bagi membantu membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.

Datuk Amar Jamilah juga menyerahkan bendera Sarawak kepada Pejabat Daerah Lundu sebagai simbolik Hari Sarawak yang akan disambut pada 22 Julai ini.-EDISI UKAS

Share
0

add comment