FAMA Santuni Petugas Barisan Hadapan PPV Debak

SABTU, 17 JULAI 2021

DEBAK: Sebagai menghargai komitmen barisan hadapan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan FAMA Negeri Sarawak tampil memberikan sumbangan kepada petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Debak.

Agihan sumbangan itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam bertempat di PPV Dewan Perpaduan Debak pada Sabtu.

Menurut Mohammad Razi, beliau amat menghargai sumbangan dari pihak FAMA dan berharap sumbangan sama juga diteruskan di tempat lain di bawah DUN Saribas.

“Pada dasarnya saya menghargai jasa pihak FAMA di atas sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Debak pada hari ini sempena dengan pemberian vaksin dos kedua.

“Saya berharap agar program seperti ini diadakan secara berterusan di tempat lain di bawah DUN Saribas kerana selain di Debak terdapat juga kawasan yang lain yang turut mengadakan program pemberian vaksin iaitu di Kampung Tuie,” katanya.

Bercakap kepada media, Mohammad Razi memberitahu seramai 2452 penduduk bakal menerima suntikan vaksin dos kedua yang diadakan selama empat hari.

Manakala di Kampung Tuie jelasnya, lebih 1500 dos vaksin telah dikeluarkan sebelum ini dan tarikh untuk suntikan kedua akan dijalankan pada 24 Julai ini, juga selama empat hari.

Jelasnya, selepas berakhir program vaksinasi tersebut, beliau menjangkakan baki penduduk kampung yang belum menerima vaksin semakin kurang dan bagi yang tercicir boleh mendapatkan suntikan vaksin di Dewan Rentap, Betong.

“Kita berharap peratusan jumlah penduduk kampung yang telah menerima program vaksinasi kebangsaan ini akan terus meningkat agar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dapat dilonggarkan dari masa ke semasa, terutamanya bagi bidang ekonomi.”

Untuk itu, beliau menasihatkan orang ramai di DUN Saribas yang belum menerima vaksin untuk sentiasa mengemaskini maklumat di dalam aplikasi MySejahtera.

Antara lain tujuan program tersebut adalah untuk mempromosi buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan kepada kumpulan sasar.

Selain itu, bagi meringankan beban rakyat terkesan akibat pandemik Covid-19, Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) dengan kerjasama Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) Betong telah menjalankan inisiatif untuk membantu penduduk tempatan memasarkan hasil tani yang terkumpul sepanjang tahun 2020. – EDISI UKAS

Share
0

add comment