Guna Saluran Betul Untuk Dapatkan Bantuan – Datuk Talib

SABTU, 17 JULAI 2021

BINTULU: Guna saluran yang betul dan bersesuaian untuk memaklumkan terputusnya bekalan makanan berbanding mengibarkan bendera putih di hadapan rumah.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, penduduk yang terputus bekalan makanan boleh menghubungi mana-mana pihak yang bertanggugjawab bagi mendapatkan bantuan kerana banyak saluran seperti agensi, pemimpin dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). 

“Masalah terputus bekalan makanan boleh diselesaikan jika semua pihak berganding bahu termasuk jiran bagi membantu antara satu sama lain.

“Kerajaan Sarawak, sentiasa membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19. 

“Dari awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pelbagai usaha dijalankan didalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang terputus bekalan keperluan asas,” katanya. 

Katanya menerusi satu kenyataan media selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk di Masjid Darul Makmur, Kampung Jepak, Bintulu pada Jumaat. 

Seramai 100 orang asnaf di sekitar Kampung Jepak menerima bakul makanan sumbangan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dengan simbolik penyerahan kepada 22 orang penerima sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. 

Dalam kenyataan itu juga Datuk Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak mengingatkan penduduk yang belum menerima vaksin segera mendaftar dan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 

“Mereka yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19 untuk mendaftar dengan MySejahtera, Pejabat Daerah atau fasiliti kesihatan yang berdekatan. Ini supaya imuniti kelompok dapat dicapai dan dapat jug melandaikan keluk COVID-19.

“Semoga kita semua mendapat menjalani kembali kehidupan seperti sediakala,” ujarnya. 

Turut hadir Timbalan Pengerusi BDA Haidar Khan Asghar Khan, Penolong Pengurus Besar Bahagian Korporat BDA Hasiah Morshidi dan Penghulu Drahman Kawi. -EDISI UKAS