Ketua Menteri Tinjau Operasi Empat PPV Di Miri

SABTU, 17 JULAI 2021

MIRI: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg melakukan lawatan kerja ke empat buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bahagian Miri pada Sabtu.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Miri, beliau bersama rombongan telah melawat ke PPV Hospital Miri di Dewan Dato Lee Teck Fook, Riam Road Secondary School Miri pada pukul 11 pagi.

Beliau bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Bertanggungjawab Bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Datuk Lee Kim Shin serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau operasi di PPV berkenaan.

Untuk rekod, seramai 720 orang individu menerima suntikan dos kedua vaksin jenis Sinovac di PPV berkenaan.

Selepas itu, Ketua Menteri diiringi rombongan meninjau PPV Dewan Eastwood Valley, Eastwood Valley Golf & Country Club, Miri pada pukul 11.30 pagi.

Difahamkan seramai 1,092 orang individu menerima suntikan dos kedua, manakala seramai 972 orang lagi menerima suntikan dos pertama di pusat vaksin tersebut.

Lawatan kerja beliau kemudian diteruskan ke PPV Industri Oil dan Gas Lutong pada pukul 2 petang sebelum menghadiri taklimat ringkas oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri di PPV Dewan Curtin Universiti. -EDISI UKAS

Share
0

add comment