KKM Perlu Kaji Hubungkait Vaksinasi Dan Jumlah Kematian COVID-19

SABTU, 17 JULAI 2021

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengkaji hubungkait vaksinasi dengan jumlah kematian yang disebabkan oleh COVID-19.

Perkara tersebut dinyatakan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu.

Beliau berkata, pihak KKM mungkin boleh melihat kepada angka kes COVID-19 di Sarawak pada Jumaat yang mana sebanyak 423 kes dicatatkan tetapi tiada kematian yang direkodkan.

“Walaupun Sarawak mencatat 423 kes positif namun tiada kematian yang dicatat pada 16 Julai 2021. 

“Adakah ia hasil daripada program vaksinasi yang dilakukan secara agresif oleh KKM di Sarawak?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata sekiranya terdapat hubungkait langsung antara vaksinasi dan jumlah kematian Covid-19, ia bermaksud rancangan pelaksanaan vaksin di negeri Sarawak ini adalah pendekatan yang tepat untuk membendung virus yang membawa maut itu. 

“Jadi, kita tidak membuang masa dengan menggunakan segala bentuk strategi seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan sebagainya,” jelasnya lagi.-EDISI UKAS

Share
0

add comment