Klinik Pergigian Sungai Asap Siap, Beri Manfaat Kepada Penduduk Di Penempatan Semula Bakun Apau Koyan 

SABTU, 17 JULAI 2021

MURUM: Klinik Pergigian Sungai Asap yang telah siap pembinaannya akan memberi manfaat kepada kira-kira 17,000 orang populasi penduduk di Penempatan Semula Bakun (BRS) Apau Koyan.

Klinik pergigian tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia 2, Datuk Aaron Ago Dagang yang turut diiringi oleh Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon baru-baru ini.

Dalam pada itu, ADUN Murum telah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah merealisasikan pembinaan klinik pergigian untuk penduduk di kawasan Tubau.

“Jutaan terima kasih kepada semua pihak khasnya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah merealisasikan pembinaan klinik pergigian untuk penduduk di kawasan Tubau ini,” katanya ketika perasmian klinik pergigian itu selepas melawat ke Klinik Kesihatan Tubau bagi melihat sendiri keperluan-keperluan di klinik tersebut.

Setelah itu, mereka telah menyertai pasukan vaksinasi bergerak untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada penduduk di penempatan suku Kaum Penan di Lusong Laku, Ulu Linau.

Menurut pihak KKM, seramai 800 penduduk Suku Kaum Penan di Ulu Sungai Linau layak untuk mengambil vaksin.

Selesai pemberian vaksin di Lusong Laku, pasukan vaksinasi bergerak ke Long Abit, Long Kajang, Long Tanyit dan Long Lidem dengan menggunakan perahu dan juga jalan darat ke destinasi-destinasi pemberian itu.

Sementara itu, Kennedy Chukpai juga turut bersama-sama pasukan vaskinasi bergerak Klinik Kesihatan Sungai Asap telah pergi ke kawasan Long Urun, Belaga untuk pemberian vaksin bagi penduduk di kawasan itu yang  dilaksanakan di Pusat Khidmat Luar Bandar (RSC) Long Urun yang telah bermula pada 15 Julai hingga 18 Julai 2021.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pasukan tersebut serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Belaga yang bertungkus-lumus melaksanakan program vaksinasi yang melibatkan 14 penempatan suku kaum Penan dan Kenyah di kawasan Long Urun. 

Pegawai Perubatan KK Sungai Asap, Dr. Yap Hung Wei yang mengetuai PPV Bergerak di RSC Long Urun itu menjangkakan seramai 1,305 penduduk di kawasan Long Urun yang layak mendapatkan vaksin dos pertama.

ADUN Murum itu juga menzahirkan rasa syukur dengan maklumbalas penduduk  di Long Urun yang mana mereka bersetuju dan bersedia untuk mengambil vaksin.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Urun Plantation atas kesudian membantu pihak Klinik Kesihatan Sungai Asap di pusat pemberian vaksin RSC Long Urun dengan menyediakan sukarelawan, polis bantuan dan juga menyediakan pengangkutan kepada penduduk kampung untuk datang ke RSC Long Urun bagi mendapatkan vaksin masing-masing.-EDISI UKAS