Paras Air Di Kawasan Kampung Batu Danau Menaik

SABTU, 17 JULAI 2021

LIMBANG: Hujan lebat beberapa hari lalu telah menyebabkan kejadian banjir gelombong kedua di kawasan rendah sepanjang Sungai Limbang pada Jumaat.

Keadaan ini mengakibatkan beberapa buah rumah panjang dan kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau mula dinaiki air.

Trend air yang turun dari Ulu Limbang telah menyebabkan paras air semakin meningkat di kawasan hilir seperti di Kampung Tanjung, Kampung Ukong, Kampung Pengkalan Jawa, Kampung Pengkalan Madang, Kampung Batu Danau, Kampung Pandak, Kampung Kuala Awang, Kampung Telahak dan beberapa lagi kampung lain di sepanjang Sungai Limbang.

Selain kampung, turut dinaiki air beberapa buah sekolah akibat limpahan air sungai Sekolah Kebangsaan (SK) Ukong, SK Batu Danau, SK Kuala Awang, SK Lubok Tekuruk dan SK Telahak termasuk Klinik Kesihatan Batu Danau.

Sehingga tengah hari Jumaat, belum ada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Limbang.

Penduduk di kawasan terjejas berharap kaedaan banjir akan beransur surut jika tiada hujan lebat luar biasa di kawasan ulu dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Pada Mei lalu, sebanyak 5 buah PPS telah dibuka di Daerah Limbang  bagi kemudahan mangsa-mangsa banjir yang kesemuanya dari kawasan DUN Batu Danau. -EDISI UKAS

Share
0

add comment