Penduduk Tiga Buah Kampung Di Dalat Lega Terima Surat Hakmilik Tanah

SABTU, 17 JULAI 2021

DALAT: Penantian penduduk di tiga buah kampung tradisi iaitu Kampung Brunei, Kampung Baru dan Kampung Seberang untuk memiliki geran tanah akhirnya menjadi kenyataan selepas menerima Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN).

Simbolik penyerahan geran tersebut disempurnakan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak merangkap ADUN Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah bertempat di Kampung Brunei, Dalat pada Jumaat.

Bercakap kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas program tersebut, Dato Sri Fatimah memberitahu proses yang sama juga akan dilaksanakan di Kampung Kut Muara selepas ini.

“Terima kasih kepada Jabatan Tanah dan Survei kerana akhirnya urusan untuk memberi geran tanah di kampung tradisi di Kampung Brunei, Kampung Baru dan Kampung Seberang telah selesai dijalankan.

“Faedah geran tanah di Seksyen 18 KTN adalah individu akan mendapat hak mutlak untuk tanah tersebut untuk dibina tempat rumah kediaman. Lot adalah milik individu dan dengan itu tiada pertikaian lagi yang akan berlaku,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya geran tanah ini nanti, individu boleh menggunakan kemudahan yang ditawarkan oleh KWSP untuk menaiktaraf rumah atau membina rumah sekiranya sudah ada Surat Hak Milik.

Kemudahan ini akan membantu penduduk kampung untuk membina kediaman yang lebih baik, tambahnya.

“Inilah yang ditunggu-tunggu oleh penduduk kampung. Sebagai wakil rakyat di kawasan DUN Dalat, saya ingin mewakili penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan.

“Semua proses dari segi pengukuran tanah adalah percuma dan tiada tarikh luput dan tiada dikenakan bayaran. Dengan itu terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi semasa Covid-19, Dato Sri Fatimah menyeru orang ramai khususnya di Dalat untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) agar jumlah kes terus menurun.

Seperti warga Sarawak yang lain, beliau turut melahirkan kelegaan kerana negeri ini telah beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan berharap akan beralih ke fasa ketiga selepas ini.

Menyentuh mengenai program imunisasi di Dalat, beliau berkata peratusan vaksinasi di daerah itu akan mencapai imuniti kelompok seperti yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak.

Jelasnya, setakat ini sebanyak 82.7 peratus dari 12,919 penduduk yang mendaftar telah menerima dos pertama manakala 51.5 peratus lagi menerima dos kedua.

Namun, jika berdasarkan daftar vaksinasi dalam JKJAV terdapat seramai 10,428 yang telah mendaftar dengan 102 peratus telah menerima dos pertama sebab ada yang mendaftar secara manual manakala 63.8 peratus menerima dos kedua. –EDISI UKAS