Program Rumah Sejahtera Pantai Damai Bantu Rakyat Yang Memerlukan, Ganti Rumah Daif 

SABTU, 17 JULAI 2021

KUCHING: Program Rumah Sejahtera Pantai Damai dilaksanakan untuk membantu masyarakat yang memerlukan dan menggantikan rumah daif.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, setakat ini sebanyak lima buah rumah telah dibina sejak Program Rumah Sejahtera Pantai Damai diperkenalkan pada penghujung 2019.

Jelas beliau, dua buah rumah dibina di Kampung Rampangi Fasa 1, masing-masing sebuah di Kampung Temedak, Kampung Jaya Bakti dan Kampung Buntal.

“Program ini merupakan projek khas kita dalam membantu masyarakat membina rumah.

“Ia adalah hasil kerjasama pemimpin masyarakat yang membantu menyalurkan maklumat mengenai masyarakat yang memerlukan rumah,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan Rumah Sejahtera Pantai Damai kepada Haminah di Kampung Rampangi Fasa 1 pada Jumaat.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, rumah baharu Haminah dibina dengan kos RM57,000 yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur, bilik air, bilik mandi, ruang dapur, ruang tamu, bekalan elektrik dan bekalan air.

“Ia mula dibina pada awal April lepas dan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan,” ujarnya.

Sementara itu, Haminah menzahirkan perasaan gembira sangat gembira kerana dapat menyambut Hari Raya Aidiladha di rumah baharu.

“Terima kasih kepada Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi kerana membantu membina rumah yang selesa ini,” jelasnya gembira. – EDISI UKAS

Share
0

add comment