SABTU, 17 JULAI 2021
MIRI: Program vaksinasi COVID-19 di Bahagian Miri menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dengan seramai 238,772 individu atau 72.5 peratus telah menerima suntikan vaksin bagi dos pertama setakat ini.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, manakala bagi dos kedua, seramai 114,634 individu atau 35 peratus populasi bahagian berkenaan sudah melengkapkan vaksinasi.
Menurut beliau, prestasi yang memberangsangkan itu dinilai menerusi trend kes yang menurun yang ditunjukkan hasil kerjasama erat antara pihak kerajaan dan swasta serta disokong oleh rakyat negeri ini.
“Dan hari ini saya telah diberi taklimat oleh semua sektor dalam program vaksinasi kita dengan kita telah merekodkan seramai 238,772 orang atau 72.5 peratus sudah menerima dos vaksin pertama dan 114,634 individu lagi atau 35 peratus sudah menerima dos kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas taklimat ringkas oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Curtin Universiti di Miri pada petang Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Bertanggungjawab Bagi JPBB Miri, Datuk Lee Kim Shin serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.
Dalam pada itu, Ketua Menteri memberitahu, kerajaan negeri telah memutuskan untuk menggunakan suntikan vaksin tunggal jenis Cansino bagi mempercepatkan kadar vaksinasi di kawasan pedalaman.
“Bagi masyarakat luar bandar, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk membeli vaksin Cansino bagi memudahkan program vaksinasi di pedalaman sekaligus memudahkan mereka menerima vaksin COVID-19,” katanya. -EDISI UKAS