134 Penduduk Ulu Empangan Bengoh Terima Vaksin Dos Pertama

AHAD, 18 JULAI 2021

PADAWAN: Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr. Jerip Susil turun padang bersama petugas dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Braang Bayur untuk memberi suntikan dos pertama kepada 134 orang penduduk di Ulu Empangan Bengoh pada Sabtu.

Menarik perhatian, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong turut menyertai petugas kesihatan melakukan suntikan vaksin terhadap para penerima.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Muk Ayun, Kampung Sting dan Kampung Nyegol selaras dengan Program Outreach Vaksinasi Daerah Kecil Padawan.

Proses pemberian vaksin penduduk Ulu Empangan Bengoh telah dibahagikan kepada dua tempat iaitu di Kampung Nyegol yang melibatkan 41 orang dan di Kampung Muk Ayun dan Kampung Sting yang melibatkan 93 orang.

Kesemua 134 orang penerima berjaya divaksin dan proses vaksinasi untuk dos kedua akan dilakukan oleh petugas PPV Klinik Braang Bayur di lokasi sama pada 7 Ogos depan.

Program Outreach Vaksinasi Daerah Kecil Padawan kali ini turut mendapat bantuan daripada pihak sukarelawan Pejabat Pusat Khidmat DUN Mambong, Polis dan Bomba.

Sementara itu,perjalanan selama 30 minit menaiki bot merentasi Empangan Bengoh tidak mematahkan semangat pasukan vaksinasi melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat di luar bandar untuk mencapai imunisasi kelompok menjelang akhir Ogos depan. -EDISI UKAS

Share
0

add comment