52.4 Peratus Penduduk Bahagian Limbang Telah Lengkap Terima Vaksin COVID-19, Yakin Capai Sasaran Imuniti Kelompok Pada 13 Ogos Ini

AHAD, 18 JULAI 2021

LIMBANG: Sehingga 16 Julai, sejumlah 52.4 peratus atau 38,714 orang penduduk di Bahagian Limbang telah berjaya melengkapkan penerimaan vaksin COVID-19. 

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, jumlah ini meliputi 45.2 peratus atau 18,431 penduduk Daerah Limbang dan 61.2 peratus atau 20,283 penduduk di Daerah Lawas. 

“Kita jangkakan program ini akan berakhir pada 13 Ogos dan pada masa itu sasaran kita untuk keseluruhan Bahagian Limbang adalah 77 peratus. 

“Pecahan untuk Daerah Limbang 76 peratus dan Daerah Lawas 78 peratus. Jadi, ini satu angka yang amat baik mengambil kira penduduk-penduduk yang tidak berada di Limbang. 

“Kalau mengikut statistik memanglah besar tapi memang tidak semua berada di Limbang. Kita anggarkan lebih kurang 10,000 penduduk itu berada di luar Limbang,” katanya. 

Mengenai ‘Agro Community’ merupakan program pemvaksinan khas bagi pekerja di sektor ladang kelapa sawit, peranian dan sebagainya telah mencapai 90 peratus secara keseluruhannya. 

SUPERT: Datuk Dr Abdul Rahman Ismail – Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak

“Keseluruhan untuk bahagian Limbang yang terlibat dalam Agro Community ini adalah 1386 orang, ini termasuk pekerja, tanggungan, termasuk juga pekerja asing, mereka ini tidak ramai di Limbang sebab itu kita tidak mewujudkan PPV Industri,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media Perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Daerah Limbang di Pejabat Residen Bahagian Limbang pada Sabtu.

Terdahulu, Datuk Dr Abdul Rahman telah diberikan taklimat oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr. Norliza Jusoh berkenaan perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Bahagian Limbang dan Amirul Fikri Jemali dari Jabatan Pertanian Sarawak berkenaan pencapaian Agro Community di Bahagian Limbang.

Di Bahagian Limbang, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam, PPV Khas, PPV GP dan melaksanakan Program Outreach Vaksinasi dan ‘Mopping’. 

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah setakat ini PICK berjalan lancar cuma baru-baru keadaan banjir menyebabkan berlakunya penundaan proses vaksinasi dan pemvaksinan bagi kaum Penan yang sedikit perlahan. 

“Walaupun penduduknya tidak ramai lebih kurang 387 orang, daripada jumlah tersebut hanya 18 orang yang bersetuju setakat ini.

“Kita akan mengadakan lebih banyak penerangan kepada mereka supaya lebih ramai yang bersetuju dan untuk kawasan Penan ini Program Outreach Vaksinasi akan kita adakan bermula 26 hingga 29 Julai ini.

“Kita berharap akan lebih ramai masyarakat Penan bersetuju mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya. 

Menjawab soalan media mengenai pencapaian pemvaksinan di bahagian Limbang berbanding di bahagian lain, beliau memberitahu tujuan pemvaksinan ini bukanlah untuk perbandingan sebaliknya Jabatan Kesihatan Malaysia sendiri mempunyai perancangan untuk mencapai sasaran Imuniti Kelompok sebelum 31 Ogos 2021.

“Dari situ mereka telah membuat program-program termasuk mewujudkan beberapa PPV, mengatur beberapa Program Outreach dan sebagainya.

“Seperti yang saya katakan tadi sasaran kita adalah pada 13 Ogos. Itu target terakhir bagi Limbang. 

“Jadi, semua akan ditutup pada 13 Ogos dan pada masa itu pencapaian kita keseluruhannya 77 peratus.  Itu satu pencapaian yang baik,” katanya. 

Sehingga ini, beberapa PPV telah ditutup seperti PPV Medamit dan PPV ILIM (Institut Latihan Islam Malaysia) JAKIM, manakala PPV Batu Danau akan ditutup pada 21 Julai serta PPV Dewan Suarah Limbang dibuka sehingga 13 Ogos 2021. 

Hadir sama ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang merangkap Pengerusi JPBB Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr. Norliza Jusoh, Pengarah Hospital Limbang Dr. Mohd. Faiz Ibrahim dan wakil Jabatan Pertanian Bahagian Limbang Amirul Fikri  Jemali. -EDISI UKAS 

Share
0

add comment