Ahli Parlimen Batang Lupar Tinjau Program Pemberian Vaksin Di Pusa, Agih Bantuan PEMULIH

AHAD, 18 JULAI 2021

PUSA: Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim pada Sabtu turun padang melawat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekitar Daerah Pusa.

Lawatan pertama beliau ke PPV Dewan Masyarakat Beladin, Pusa di mana seramai 373 penerima vaksin dos pertama terdiri daripada pekerja Ladang Semarang dan Ladang Tanjung Lilin (warga Indonesia).

Manakala 311 lagi penerima merupakan penduduk tempatan iaitu 126 untuk dos pertama dan 185 untuk dos kedua.

Dalam lawatan tersebut, Dato Sri Rohani turut menyampaikan sumbangan minuman dan makanan, pelitup hidung dan mulut serta pembersih tangan untuk kegunaan PPV Beladin.

Beliau kemudiannya melawat PPV Dewan Masyarakat Kampung Kalok, Pusa untuk meninjau pemberian vaksin kepada 400 penerima vaksin dos kedua melibatkan warga emas dan orang awam.

Dalam lawatan itu, beliau sempat beramah mesra dengan penerima vaksin sambil mengingatkan mereka untuk terus mematuhi SOP serta mengamalkan norma baharu bagi mengekang pandemik Covid-19.

Dato Sri Rohani turut berterima kasih kepada KMKK di kawasan tersebut kerana telah bertungkus lumus memastikan penduduk di situ menerima suntikan vaksin.

Tegasnya, peranan KMKK juga amat diperlukan agar maklumat sahih mengenai program vaksinasi akan sampai ke peringkat akar umbi.

Beliau turut menyampaikan sumbangan minuman dan makanan, pelitup hidung dan mulut serta pembersih tangan untuk kegunaan PPV berkenaan.

Pada sebelah petang, Dato Sri Rohani telah menyempurnakan Simbolik Agihan Bakul Makanan Menerusi Pakej PEMULIH Parlimen Batang Lupar di Kampung Kalok, Pusa.

Menurutnya, penerima bakul makanan itu terdiri daripada golongan asnaf yang layak di kawasan Beting Maro sambil menambah Program Bantuan Bakul Makanan PEMULIH itu bagi memperkasakan program bantuan bakul makanan sedia ada untuk memastikan pelaksanaan yang lebih terangkum dan efektif kepada kumpulan sasar di seluruh kawasan.

Dalam pada itu, Ketua Masyarakat Kampung Kalok, Pusa mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan menerusi pakej bantuan PEMULIH  dan berharap bantuan ini dapat meringankan beban penduduk kampung khususnya di kawasan Beting Maro. – EDISI UKAS