Pemberian Vaksin COVID-19, Peranan Kerajaan Pastikan Keselamatan Rakyat Terjamin

AHAD, 18 JULAI 2021

BETONG : Peranan vaksin COVID-19 bukan untuk memastikan penerimanya tidak lagi dijangkiti virus berkenaan, sebaliknya bagi memastikan tubuh badan memiliki sistem imunisasi yang kuat.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, penerima vaksin masih boleh dijangkiti, namun kebarangkalian untuk mendapat gejala teruk dan memerlukan rawatan adalah rendah berbanding individu yang tidak menerimanya.

Beliau menjelas demikian apabila dimaklumkan bahawa terdapat beberapa kelompok kecil yang masih ragu-ragu untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Sehubungan dengan itu katanya, peruntukan bagi melaksanakan perkhidmatan pemberian vaksin dari rumah ke rumah oleh petugas kesihatan telah diperuntukkan bagi memberi kemudahan kepada warga emas mahupun individu yang sakit terlantar untuk divaksinasi.

Oleh yang demikian, semua pemimpin masyarakat adalah digesa untuk memberitahu serta menyeru penduduk di kawasan masing-masing untuk segera mendaftar dan mendapatkan vaksin, sebagai langkah keselamatan.

Berikut menurut beliau ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran berjumlah RM50,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada Spaoh Chinese Temple, pada Ahad.

Dalam majlis sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Betong, Datuk Robert Lawson Chuat turut menyampaikan ‘outright grants’ berjumlah RM133,000 kepada lima buah Persatuan Cina, tokong dan lembaga pengurusan sekolah.

Turut hadir, Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak,Dr Richard Rapu, Timbalan Residen Bahagian Betong,Abang Mohamed Abang Turkey.

Sejurus selepas majlis, Datuk Amar Douglas bersama rombongan berkesempatan menziarahi 32 keluarga di Rumah Panjang Luban Ili yang memerlukan bantuan, bagi projek pembesaran rumah panjang mereka. -EDISI UKAS

Share
0

add comment